12/09/2021
WARIS MASIH GAGAL MENUNTUT RM90B HARTA YG DITINGGALKAN SI MATI
Jumlah harta si mati yang belum dituntut oleh ahli waris telah meningkat ke RM90B mengikut laporan terkini. Jumlah ini meningkat agak drastik dan kian meningkat setiap tahun. Ditambah lagi dengan kematian semakin tinggi disebabkan wabak pandemik Covid-19 ini, dijangka jumlah harta si mati yang terbeku akan makin melonjak tinggi.
Segala hasil titik peluh si mati menjana harta sepanjang hayatnya dibazirkan tanpa dapat dimanfaatkan sebaiknya samada untuk ahli waris mahupun kepada masyarakat awam. Ini antara kesan dari kurangnya kesedaran perancangan harta dalam masyarakat kita.
Berdasarkan pengalaman kami dalam bidang ini, apabila ditanya berkaitan kepentingan perancangan harta kepada orang awam, majoritinya mempunyai hasrat tersendiri ke mana harta mereka akan disalurkan setelah berlaku kematian. Namun, mereka masih belum berminat untuk terus membuat perancangan awal disebabkan alasan-alasan ini:
1. Mereka merasakan umur mereka masih panjang, nanti-natilah buat perancangan harta bila dah terasa nak mati. Masalah utamanya, sangkaan mereka semua meleset. Tiba-tiba p**ak mati. Kalau sempat sedarpun, dah agak terlambat, kebanyakan perancangan sudah tidak layak lagi dibuat.
2. Mereka dengan yakin mengatakan hukum faraid dah ada. Jadi mereka merasakan urusan tuntutan itu akan diuruskan oleh badan kerajaan secara automatik dan amat mudah, waris hanya perlu menunggu tanpa perlu berbuat apa-apa. Sedangkan waris perlu melalui pelbagai proses yang agak remeh dengan pelbagai pihak untuk setiap tuntutan yang hendak dibuat. Walaupun waris semuanya sepakat, proses-proses tersebut perlu dibuat satu persatu. Apatah lagi jika ada sengketa antara waris, terbengkalailah harta tanpa boleh dimanfaatkan.
3. Mereka merasakan urusan tuntutan harta pusaka itu adalah tanggungjawab siapa yang nak mewarisi harta mereka. Jadi, mereka tidak mahu membazir (kedekut) untuk membuat perancangan awal dan berharap pandai-pandailah waris itu membuat tuntutan. Sedangkan dalam kebanyakkan kes, waris langsung tidak mempunyai pengetahuan bagaimana untuk membuat tuntutan. Tambahan lagi tiada masa untuk mereka menguruskan tuntutan.
4. Mereka merasakan masalah pengurusan pusaka ini hanya menjadi masalah waris sedangkan merekalah yang lebih terbeban selagi urusan pusaka itu belum diselesaikan terutama dalam bab melangsaikan hutang yang ditinggalkan. Bab hutang ini amat-amat dititik beratkan oleh agama kerana ia juga menentukan nasib si mati di alam seterusnya.
5. Ada yang telah membuat dokumen wasiat dan merasakan semuanya telah selesai. Semua hasrat mereka akan tertunai hanya dengan wasiat itu sahaja. Bagi mereka dalam golongan ini, kami amat kesiankan mereka kerana telah mendapat maklumat yang kurang tepat. Benar wasiat itu ada keperluannya tetapi terhad untuk urusan tertentu sahaja. Terutamanya kepada orang Islam, ia langsung tidak berfungsi untuk pembahagian harta kepada ahli waris seandainya wasiat itu tidak dipersetujui ahli waris selepas kematian pewasiat. Undang-undang negarapun tidak membenarkan, apatah lagi hukum agama.
6. Begitu juga mereka yang telah mengambil hibah takaful dimomokkan yang kesemua urusan pusakanya akan selesai dengan mudah. Betul, takaful itu bagus untuk menyediakan dana tunai kepada penerima hibah, tetapi urusan pusaka tetap tidak boleh diselesaikan dengan mudah. Matlamat utama hibah takaful adalah untuk menyediakan dana kewangan kepada keluarga yang ditinggalkan agar dapat meneruskan kelangsungan hidup terutama mereka yang mempunyai anak-anak yang masih kecil. Pampasan dari hibah takaful bukanlah untuk dihabiskan dalam jumlah yang besar untuk urusan pusaka. Proses-proses pusaka dan persepakatan waris tetap perlu diuruskan dan mungkin terus bermasalah.
7. Ada yang telah membuat dokumen hibah seperti yang dicadangkan oleh "seller" dokumen hibah tanpa mengetahui secara terperinci sejauhmana dokumen yang disediakan itu mampu dilaksanakan setelah mereka mati.
Dokumen hibah ini adalah dukumen syariah dan ia perlu disahkan di Mahkamah Tinggi Syariah bagi memastikan pemberian hibah itu sah dari segi hukum agama dengan menepati rukun-rukun dan syarat hibah. Jika hibah itu tidah sah dari sisi syarak tetapi tetap diberikan kepada penerima hibah, dikhuatiri ia akan menjadi harta batil untuk penerimanya. Sekiranya hibah itu tidak sah, ia akan kembali tertakluk kepada hukum faraid yang waris lain juga mempunyai hak terhadap harta tersebut.
Itulah antara faktor-faktor yang membuatkan harta si mati terus terbeku dan tidak boleh diselesaikan. Isu berkaitan urusan harta pusaka ini bukan sahaja berkaitan dengan proses perlaksanaannya setelah berlaku kematian pemilik harta sahaja tetapi ia turut memberi implikasi besar kepada keturunan si mati kerana ia berkaitan secara langsung dengan hukum agama.
Harta yang dikurniakan Allah itu adalah amanah dan ujian buat pemiliknya yang mana akan dipersoalkan secara terperinci di akhirat nanti. Bertanggungjawablah atas setiap harta kamu dengan mengambilkira hukum syarak dalam setiap tindakan yang diambil.
Tinggalkan waris kamu dengan harta yang cukup adalah lebih baik dari tinggalkan mereka meminta-minta. Namun, pastikan mereka mendapat harta yang halal bukannya yang batil. Jika tidak, lebih baik tinggalkan mereka apa yang perlu sahaja asalkan ia halal untuk mereka. Sediakanlah perancangan yang tepat buat mereka agar apa sahaja harta yang ditinggalkan itu dapat dimanfaatkan dengan sempurna dan memenuhi kehendak syarak.
Lebih utama, tinggalkan mereka dengan bekal ilmu agama yang benar. Itu adalah terbaik buatmu kerana mereka pasti dicukupkan dan dilindungi Allah.
Wallahu a'lam bissowab.