19/06/2026
Caj RM1 pengeluaran ATM antara bank dimansuhkan mulai 1 Julai
KUALA LUMPUR, 15 Julai 2026: Pengguna bank di Malaysia tidak lagi perlu membayar caj RM1 bagi setiap pengeluaran tunai antara bank menerusi mesin juruwang automatik (ATM) dan Smart Recycler Machine (SRM) mulai 1 Julai ini.
Inisiatif itu membolehkan pemegang kad debit Malaysia mengeluarkan wang tunai secara percuma di lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara tanpa mengira bank yang mengeluarkan kad berkenaan.
Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM).
Menurut kenyataan itu, pemansuhan caj berkenaan terpakai untuk semua ATM dan SRM yang dikendalikan bank-bank di Malaysia serta membolehkan pengeluaran tunai tanpa had dikenakan sebarang caj tambahan.
Inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) sebagai usaha meningkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan yang lebih mudah, inklusif dan mampu milik.
Menurut persatuan berkenaan, wang tunai masih menjadi kaedah pembayaran penting bagi sebahagian rakyat Malaysia dalam urusan harian mereka.
Justeru, pemansuhan caj pengeluaran tunai antara bank itu diharap dapat memudahkan orang ramai mendapatkan akses kepada wang tunai selain membantu mengurangkan beban kos harian pengguna.